Bahasa

/

Sejarah JPP

Sejarah JPP

Sejarah sistem pengajian teknikal dan vokasional Negara bermula dengan penubuhan Sekolah Teknik Treacher di Kuala Lumpur untuk melatih juruteknik bagi Jabatan Keretapi dan Jabatan Kerja Raya pada tahun 1906. Semenjak itu pendidikan teknik dan vokasional Negara telah melalui beberapa fasa perubahan dan perkembangan seiring dengan kemajuan teknologi. Pendidikan teknik dan vokasional semakin berkembang pada tahun 1926 dengan penubuhan Sekolah Ketukangan yang pertama seiring dengan kemajuan teknologi bagi memenuhi keperluan sumber tenaga kerja.

Pada tahun 1964 Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia telah ditubuhkan dan dipertanggungjawabkan untuk mempromosikan pendidikan teknikal dan vokasional. Bahagian ini seterusnya telah diberi status jabatan dan dinamakan Jabatan Pendidikan Teknikal (JPTEK) pada tahun 1995. Selain merangka polisi, jabatan baharu ini juga bertanggungjawab menentukan halatuju pendidikan teknikal dan vokasional selaras dengan program pengindustrian dan modenisasi Negara.

Pada bulan Mac 2004, Kementerian Pengajian Tinggi telah ditubuhkan bagi meningkatkan kualiti sistem penyampaian peringkat pengajian tinggi dan seterusnya menubuhkan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Walau bagaimanapun, JPPKK telah distrukturkan semula mulai 16 September 2009 kepada Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) dan Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK).

Pada Mei 2013 Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Malaysia telah bergabung menjadi Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun, berikutan rombakan Kabinet Persekutuan pada 28 Julai 2015 (Selasa) menerusi satu sidang media khas oleh YAB Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diwujudkan semula dengan rasminya bersesuaian dengan peruntukan Akta yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.

Kini, dengan diketuai oleh seorang Ketua Pengarah, semua politeknik berpayung di bawah JPP dan meneruskan kesinambungan sistem pendidikan teknik dan vokasional yang berkualiti dan dinamik.