Bahasa

/

Transformasi Politeknik

Transformasi Politeknik

Bagi mengukuhkan peranan Politeknik dalam bidang pendidikan dan latihan, Jemaah Menteri pada 20 November 2009 telah menimbang Memorandum Pengajian Tinggi (No. 871/2670/2009) dan bersetuju dengan Hala Tuju Transformasi Politeknik dengan objektif yang berikut:

  • Melonjakkan politeknik sebagai institusi peneraju dalam bidang TVET;
  • Mengukuhkan kerelevanan dan keresponsifan program pengajian di politeknik agar selari dengan kehendak pembangunan ekonomi negara;
  • Menerajui bidang tujahan dan teknologi tertentu bagi menghasilkan siswazah berkualiti yang berdaya usahawan, berkebolehpasaran tinggi dan berdaya saing;
  • Membina reputasi dan jenama yang mampu meletakkan politeknik antara institusi pengajian tinggi negara yang terbaik; dan
  • Mempelbagai dan meluaskan penawaran program yang mampu menarik minat pelajar.

Hala Tuju Transformasi Politeknik ini dilancarkan pada 25 Februari 2010 oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merupakan permulaan usaha bagi membina upaya baharu politeknik untuk melestarikan pembangunan modal insan. Empat teras Hala Tuju Transformasi Politeknik yang dipersetujui pihak Jemaah Menteri adalah seperti berikut:

  • Pemerkasaan politeknik ke arah menjadi pilihan yang setanding dengan universiti;
  • Pembangunan program pengajian dan penyelidikan dalam bidang tujahan yang bertunjangkan kekuatan di setiap politeknik;
  • Pemerkasaan warga politeknik dengan pengetahuan dan ketrampilan peringkat tinggi;
  • Pembinaan imej dan budaya kerja cemerlang.

Bagi merealisasi agenda negara, Transformasi Politeknik mendukung Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi melalui inisiatif yang dilakukan mengikut 4 fasa yang berikut:

  • Fasa I: Quick Wins dan Transformasi Keinstitusian
  • Fasa II: Peningkatan ke arah Kecemerlangan
  • Fasa III: Pemerkasaan
  • Fasa IV: Kecemerlangan

Setiap fasa mempunyai kerangka berpandukan hasil yang diharapkan dan dikenalpasti. Justeru itu, hasil yang ingin dicapai adalah seperti berikut:

  • Politeknik sebagai institusi pilihan;
  • Siswazah yang mempunyai kebolehdayaan diambil bekerja serta berdaya keusahawanan; dan
  • Persepsi positif terhadap politeknik.